Thursday, June 25, 2009

Berita Mengenai Influenza A (H1N1)

12 lagi kes baru H1N1

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 24 Jun – Kes selesema babi, influenza A (H1N1) di negara ini terus meningkat dengan 12 lagi kes baru dikesan.

Ia membabitkan 10 kes import baru dan dua jangkitan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican (gambar) berkata, kes baru itu melibatkan dua warga Yemen dan seorang dari Indonesia manakala selebihnya adalah warga tempatan yang telah melawat negara-negara terjejas dengan wabak itu iaitu Singapura, United Kingdom, Thailand, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat.

‘‘Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes H1N1 yang dikesan di negara ini 80 kes iaitu 69 kes import dan 11 kes jangkitan tempatan.

‘‘Semua pesakit yang telah dimasukkan ke wad adalah stabil dan sedang menerima rawatan antiviral,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai H1N1 di sini hari ini.

Sehingga kini, jumlah kes terkumpul yang disiasat kerana disyaki jangkitan influenza A (H1N1) sebanyak 1,619 kes.

Mohd. Ismail berkata, sehingga pagi ini, 44 pesakit masih berada di hospital dan disahkan positif H1N1.

‘Hospital itu adalah Hospital Sungai Buloh (24 pesakit), Hospital Kuala Lumpur (4), Hospital Pulau Pinang (4) dan Hospital Ipoh (1).

‘‘Empat lagi hospital ialah Hospital Alor Setar (3), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (4), Hospital Tuanku Jaafar (2) dan Hospital Umum Sarawak (2),” katanya.

Menurutnya, bilangan sekolah yang ditutup kekal empat manakala tiga lagi sekolah kekal diarah tutup satu daripada kelas masing-masing.

Bagaimanapun, beliau berkata, ibu bapa pelajar sekolah terlibat diminta terus memastikan anak-anak mereka berada di rumah dan tidak mengunjungi tempat-tempat awam termasuk kelas tambahan dan sekolah agama.

‘‘Pelajar terlibat yang mengalami gejala demam dan tanda-tanda seperti batuk, sakit tekak dan selesema hendaklah segera mendapat rawatan di hospital berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa sehingga pagi ini, jumlah terkumpul kes H1N1 daripada 99 negara adalah sebanyak 53,110 kes dengan 232 kematian iaitu pertambahan sebanyak 423 kes.

Petikan dari Utusan.com.my bertarikh 25 Jun 2009
Cuti 100,000 petugas kesihatan awam dibeku serta merta

PUTRAJAYA: Cuti 100,000 petugas kesihatan awam yang terbabit secara langsung dengan pencegahan wabak Influenza A (H1N1) dibekukan berkuat kuasa serta merta ketika penularan penyakit itu kini menjadi semakin serius, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Pembekuan cuti itu membabitkan semua pegawai di hospital seluruh negara serta pegawai kesihatan awam yang lain dan petugas yang terbabit di makmal. "Langkah itu bagi memastikan usaha pencegahan dapat dilaksanakan dengan secara berkesan dengan tenaga kerja yang mencukupi dan bagi memastikan kempen kesedaran dapat diperluaskan dan dipertingkatkan lagi," katanya di sini, hari ini.
Beliau berharap majikan dapat memberikan cuti tanpa rekod kepada petugas mereka yang baru kembali dari luar negara terutamanya dari Australia, Filipina dan Amerika Syarikat (AS) untuk membolehkan mereka menjalani "kuarantin sendiri". "Saya rasa langkah itu adalah untuk keselamatan negara dan perkara ini juga akan dibincangkan dalam kabinet," katanya. Liow berkata, memandangkan wabak ini semakin serius, semua kontak kepada kes yang dikesan tidak harus menyembunyikan diri sebaliknya tampil untuk mendapatkan rawatan sekali gus memudahkan usaha pencegahan dapat dilaksanakan lebih berkesan.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin mengenai Influenza H1N1 yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), kerana sumber yang sahih adalah Kementerian Kesihatan. Katanya, kementerian tidak akan menyorok sebarang kes yang dikesan dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dari semasa ke semasa. "Kalau ada kes yang dikesan pada 8 malam, pada 8 malam jugalah kementerian akan memaklumkan," katanya. Liow mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya semua sekolah di Lembah Klang yang menggunakan pendingin hawa di kelas supaya menutup alat itu sebaliknya membuka tingkap dan pintu untuk untuk membolehkan pengaliran udara yang lebih baik. - Bernama
Petikan dari Berita Harian

No comments:

Post a Comment