Wednesday, June 24, 2009

H1N1 masih terkawal, majlis awam boleh diteruskan

PUTRAJAYA 23 Jun - Majlis awam seperti kenduri masih boleh terus diadakan kerana wabak selesema babi, influenza A (H1N1) di negara ini masih belum mencapai tahap kritikal, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, tindakan mengharamkan majlis perhimpunan awam jika dilaksanakan hanya akan mencetuskan suasana panik di kalangan orang ramai sedangkan wabak tersebut masih terkawal.
"Apa yang penting adalah Kementerian Kesihatan terus memantau keadaan semasa dan jika penyebaran melibatkan sesuatu kawasan seperti sekolah, maka kerajaan akan mengambil langkah perlu di kawasan terbabit saja.
"Jangan terlalu cemas, saya percaya pihak berkuasa mampu menangani masalah ini (H1N1)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama ketua-ketua perwakilan Malaysia ke luar negara di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan sebelum ini telah mengeluarkan arahan untuk menutup sekolah dan membatalkan majlis perhimpunan awam sekiranya penularan tempatan virus selesema babi dikesan di negara ini.
Setakat ini, empat sekolah telah diarah tutup berikutan wabak tersebut iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur; Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 1 dan 2, Petaling Jaya serta Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Cheras.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, kerajaan juga tidak berhasrat untuk menutup semua sekolah di Lembah Klang dan Selangor meskipun berlaku kes penularan tempatan di empat buah sekolah terbabit.
Jelasnya, tindakan menutup sekolah selama seminggu merupakan apa yang telah dipersetujui oleh kerajaan dan langkah sedemikian akan diteruskan dalam memastikan wabak itu tidak tersebar.
Beliau menambah, kerajaan akan mengadakan sesi pertemuan dengan ibu bapa dan guru yang terlibat dengan arahan penutupan bagi menerangkan sebab-sebab tindakan itu diambil.
"Sebahagian daripada mereka tidak faham kenapa sekolah perlu ditutup dan pada sesi ini kita akan terangkan kepada mereka," ujarnya.

- Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment