Saturday, January 29, 2011

LARIAN MERENTAS DESA PERINGKAT SEKOLAH 2011

Bermula kurang lebih jam 8.00 pagi, persiapan untuk acara larian merentas desa kali ini telah disediakan. Setelah melakukan aktiviti memanaskan badan yang diketuai oleh Cikgu Noraafizan sebagai instruktor untuk senamrobik dan taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Cikgu Mohd. Fadzli, semua peserta larian dilepaskan dengan rasminya oleh YDP PIBG SKS2BK.

Peserta yang mengambil bahagian pada larian merentas desa pada kali ini adalah murid-murid Tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6. Mereka dilepaskan secara berasingan. Murid perempuan dilepaskan terlebih dahulu sebelum dilepaskan murid lelaki.

Jarak larian yang sejauh hampir 5km ini hanya mengambil masa hampir 1 jam. Setelah semua peserta selamat tiba di sekolah, barulah acara penyampaian hadiah dijalankan. Hadiah-hadiah disampaikan oleh En. Mohamed Salem (GPK HEM), En. Azmin (GPK Kokurikulum), Pn. Maimoon (Guru Besar) dan En. Hamlay (YDP PIBG).

Acara Larian Merentas Desa Peringkat Sekolah ini juga turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran sebuah lori Vico yang memberikan air minuman kepada semua peserta larian, guru dan ibu bapa yang bertugas pada acara tersebut. Tahniah dan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus-lumus menjayakan acara merentas desa pada kali ini.

"MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA"

Tuesday, January 25, 2011

KUMPULAN WANG AMANAH PELAJAR MISKIN (KWAPM)

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengenal pasti bahawa antara faktor keciciran dalam kalangan pelajar sekolah adalah disebabkan oleh kemiskinan. Bagi mengatasi masalah ini, KPM telah melaksanakan Dasar Pendidikan Wajib yang berkuatkuasa mulai Januari 2003 di bawah Seksyen 29A, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang mewajibkan ibu bapa anak mereka ke sekolah mulai Tahun Satu.

Selaras dengan pelaksanaan dasar ini, satu tabung yang dinamakan "Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin" (KWAPM) ditubuhkan untuk membantu ibu bapa yang tidak berkemampuan menghantar anak mereka ke sekolah. Sumber kewangan tersebut diperoleh daripada peruntukan kerajaan dan sumbangan pihak luar, termasuk daripada pegawai dan kakitangan KPM sendiri.

Objektif KWAPM ialah memberi bantuan secara khusus kepada pelajar miskin dengan harapan dapat mengelakkan keciciran, meningkatkan tahap pencapaian akademik serta menjana kecemerlangan pelajar secara menyeluruh.

KRITERIA KELAYAKAN BANTUAN KWAPM

1. Murid warganegara Malaysia di semua Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan;
2. Murid yang ketua isi rumah (KIR) berdaftar dengan eKASIH dan dikategorikan sebagai miskin (M) dan miskin tegar (MT);
3. Murid bukan penerima salah satu bantuan berbentuk kewangan seperti Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Sukan, Elaun OKU, biasiswa kerajaan negeri, biasiswa swasta dan yayasan; dan
4. Murid Orang Asli yang berdaftar dengan eDAMAK dan murid Penan yang bersekolah sekolah Penan.

JENIS BANTUAN

1. Bantuan Am Persekutuan (BAP) - pakaian seragam sekolah, peralatan sekolah dan keperluan lain; dan
2. Bantuan Bulanan (BB) - wang saku dan perbelanjaan harian lain.

KADAR BANTUAN

Pelajar Sekolah Rendah :
BAP - RM200 bagi setiap seorang murid setahun.
BB - RM25/RM50 bagi setiap seorang murid untuk tempoh 10 bulan.

Pelajar Sekolah Menengah :
BAP - RM300 bagi seorang murid setahun
BB - RM30/RM60 bagi setiap seorang murid untuk tempoh 10 bulan.

CARA AGIHAN

Bagi BAP
a) Masuk ke akaun murid; atau
b) Barangan; atau
c) Tunai

Bagi BB
a) Masuk ke akaun murid; atau
b) Tunai

TATA CARA PERMOHONAN

Semua murid yang KIRnya telah berdaftar dengan Sistem eKASIH dan disahkan sebagai M atau MT, akan diberikan bantuan KWAPM secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan.

Bagi KIR yang belum mendaftar, permohonan boleh dibuat melalui laman web http://www.ekasih.gov.my. Ibu bapa atau penjaga yang berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan PGK) Nasional dan belum tersenarai dalam Sistem eKASIH juga boleh membuat permohonan dengan mengisi borang yang boleh diperoleh di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

KES KECEMASAN

Bagi kes-kes kecemasan, permohonan boleh dibuat oleh pihak sekolah melalui PPD dan JPN.

KPM mensasarkan pada tahun 2010 hanya menggunakan data dari Sistem eKASIH untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar yang layak. ini selaras denga keputusan kerajaan supaya hanya KPM sahaja yang akan menguruskan bantuan persekolahan.

Walau bagaimanapun, sehingga akhir Oktober 2010 yang lalu, bilangan murid yang berdaftar dengan eKASIH terlalu kecil berbanding data penerima bantuan sedia ada. Data sedia ada bagi penerima KWAPM ialah 531, 183 orang tetapi data eKASIH hanya76, 462 orang sahaja.

Oleh itu, sebagai cadangan penyelesaian, pihak Jabatan Pelajaran Negeri perlu mengetahui kaedah pendaftaran ke Sistem eKASIH dan menyebarluaskannya ke sekolah-sekolah.

Friday, January 21, 2011

MESYUARAT AGUNG PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU KALI KE-10

Sukacita dimaklumkan bahawa Mesyuarat Agung PIBG SK Seksyen 2 Bandar Kinrara kali ke-10 akan diadakan mengikut ketetapan berikut :

Tarikh : 12 Februari 2011 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari
Tempat : Kantin SK Seksyen 2 Bandar Kinrara

Sekiranya tuan/puan mempunyai sebarang usul yang ingin dikemukakan, sila dapatkan borang usul di pejabat sekolah melalui anak tuan/puan. Borang tersebut hendaklah dikembalikan sebelum atau pada 31 Januari 2011.

AJK PIBG akan menentukan usul-usul yang akan dibahaskan pada mesyuarat agung nanti. Usul-usul yang dikemukakan hendaklah berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab PIBG di SK Seksyen 2 Bandar Kinrara.

Sehubungan dengan itu, diharap agar tuan/puan dapat mengisi dan mengembalikan keratan jawapan kehadiran kepada pihak sekolah selewat-lewatnya pada 31 Januari 2011. Keratan jawapan tersebut dilampirkan bersama notis mesyuarat agung yang telah diserahkan kepada anak tuan/puan.

LARIAN MERENTAS DESA PERINGKAT SEKOLAH 2011

Sukacita dimaklumkan bahawa SK Seksyen 2 Bandar Kinrara akan mengadakan aktiviti larian merentas desa untuk murid Tahap 2 yang terdiri daripada murid-murid Tahun 4, 5 dan 6. Aktiviti tersebut akan dijalankan pada ketetapan berikut :

Percubaan Merentas Desa
26 Januari 2011 (Rabu)
Dari 2.00 - 4.00 petang
Sekitar SK Seksyen 2 Bandar Kinrara

Larian Merentas Desa
29 Januari 2011 (Sabtu)
Dari 7.30 - 11.30 pagi
Sekitar SK Seksyen 2 Bandar Kinrara dan kawasan perumahan Taman Bukit Kuchai

Tuan/puan dikehendaki mengisi borang kebenaran untuk membolehkan anak tuan/puan menyertai larian tersebut. Borang tersebut telah diserahkan kepada anak tuan/puan dan mesti dikembalikan kepada guru kelas masing-masing selewat-lewatnya pada 24 Januari 2011 (Isnin).

Sokongan dan kerjasama tuan/puan dalam perkara ini amat dihargai dan kami dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.

Tuesday, January 18, 2011

HARI THAIPUSAM

Pada 20 Januari 2011 (Khamis), kaum India akan menyambut perayaan Hari Thaipusam. Hari tersebut merupakan hari cuti umum seluruh Malaysia. Oleh yang demikian, SKS2BK akan bercuti selama 1 hari sahaja agar murid-murid India khususnya merayakan perayaan tersebut. Sekolah akan dibuka semula seperti biasa pada keesokkannya iaitu pada 21 Januari 2011 (Jumaat). Sekian, harap maklum.

Saturday, January 15, 2011

MAJLIS PERPISAHAN PN. NAFISAH, PN. JULIANA DAN PN. JAMALAH






Pada hari 14 Januari 2011 (Jumaat) yang lalu, SKS2BK telah mengadakan sebuah Majlis Perpisahan buat Pn. Nafisah, Pn. Juliana dan Pn. Jamalah. Mereka telah dipindahkan ke sekolah baharu iaitu SK Taman Desaminium, Seri Kembangan pada 1 Januari yang lalu.

Pada majlis tersebut, hanya Pn. Nafisah sahaja yang dapat hadir manakala pn. Juliana dan Pn. Jamalah tidak dapat hadir di atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, majlis tersebut tetap meriah dengan kehadiran Pn. Nafisah.

Majlis tersebut telah diadakan di tapak perhimpunan sebelum murid-murid masuk ke dalam kelas masing-masing. Pn. Nafisah ditempatkan di SKS2BK sebagai GPK HEM sehingga dinaikkan pangkat ke GPK Pentadbiran dan Kurikulum sebelum beliau berpindah ke sekolah baharu. Pn. Juliana pula merupakan guru bimbingan dan kaunseling sekolah yang sentiasa berganding bahu bersama Cik Azean dalam Unit Bimbingan dan Kaunseling.

Bagi murid-murid SKS2BK pastikan mengenali perempuan yang tinggi lampai yang duduk di pejabat sekolah tetapi tidak ramai yang mengetahui nama beliau. Beliau ialah Pn. Jamalah, seorang kerani di pejabat. Beliau memastikan semua kerja-kerja pejabat diselesaikan dengan teliti dan sempurna.

SKS2BK mengucapkan selamat tinggal dan selamat menempuh alam pekerjaan baharu di tempat baharu. Semoga kalian berjaya sentiasa.

Tuesday, January 11, 2011

GURU-GURU BAHARU SKS2BK

Pada tahun 2011, SKS2BK telah menerima 4 orang guru baharu yang bertugas di sekolah ini. Mereka ialah En. Salem bin Fazal Deen, En. Raja Othman bin Raja Ismail, Pn. Raeme bt. Othman dan Pn. Norrihan bt. Jalaluddin. En. Raja Othman merupakan seorang Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Sebelum ini beliau telah bertugas di sekolah menengah sekitar Serdang. Beliau ditempatkan di sekolah ini pada Oktober tahun lepas.

Selain daripada En. Raja Othman, En. Salem, Pn. Raeme dan Pn. Norrihan ditempatkan di sekolah ini berkuatkuasa pada 1 Januari 2011. En. Salem merupakan GPK HEM baharu sekolah ini bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut selepas dikosongkan oleh Pn. Nafisah bt. Salleh. Manakala Pn. Raeme dan Pn. Norrihan merupakan guru akademik biasa yang akan mengajar mata pelajaran biasa di dalam kelas.

SKS2BK mengalu-alukan kedatangan mereka dengan tangan yang terbuka. Kami juga mengucapkan selamat datang dan selamat menjalankan tugas yang diamanahkan. Bersama-samalah kita memacu kecemerlangan sekolah ini ke aras yang lebih baik.

Friday, January 7, 2011

BAYARAN TAMBAHAN 2011

Kepada ibu bapa atau penjaga,
Warga SK Seksyen 2 Bandar Kinrara.

Sekolah Kebangsaan Seksyen 2 Bandar Kinrara akan membuka kaunter bayaran kepada semua murid yang belajar di sekolah ini. Kaunter tersebut akan dibuka pada 8 Januari 2011 (Sabtu). Bayaran boleh dibuat mulai jam 8.30 pagi kepada guru kelas masing-masing.

Berikut adalah senarai bayaran tambahan :

1) Kokurikulum RM 2.50
2) Kertas Ujian RM 8.00
3) Takaful RM 1.50
4) MSSD/MSSS RM 2.00
5) Sukan Tahunan RM 8.00
6) Kegiatan Agama/Moral RM 8.00

JUMLAH RM30.00

MAJLIS PERJUMPAAN IBU BAPA DAN PENJAGA MURID TAHUN 5 DAN TAHUN 6

Bersempena dengan kutipan bayaran tambahan pada 8 Januari 2011 (Sabtu) ini, pihak sekolah juga akan mengadakan taklimat kepada ibu bapa dan penjaga kepada murid Tahun 5 dan Tahun 6. Taklimat ini diadakan bertujuan untuk memberi penjelasan tentang prestasi semasa murid berkenaan serta berbincang tentang masa depan mereka. Antara perkara yang akan diutarakan adalah tentang kelas tambahan untuk Tahun 5 dan Tahun 6.

Kepada semua ibu bapa dan penjaga murid Tahun 5 dan Tahun 6 yang berkenaan diminta hadir untuk tujuan tersebut. Sesi pendaftaran dan taklimat akan bermula pada 8.30 pagi.

Aturcara majlis adalah seperti berikut :

8.30 pagi
- Pendaftaran
- Bacaan Doa
- Taklimat Guru Besar
- Taklimat YDP PIBG
- Taklimat Guru Mata Pelajaran
- Hal-hal Lain

10.00 pagi
- Kutipan Bayaran Tambahan

Sokongan dan kerjasama tuan/puan pada perkara ini amatlah dihargai dan kami dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.