Tuesday, January 25, 2011

KUMPULAN WANG AMANAH PELAJAR MISKIN (KWAPM)

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengenal pasti bahawa antara faktor keciciran dalam kalangan pelajar sekolah adalah disebabkan oleh kemiskinan. Bagi mengatasi masalah ini, KPM telah melaksanakan Dasar Pendidikan Wajib yang berkuatkuasa mulai Januari 2003 di bawah Seksyen 29A, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang mewajibkan ibu bapa anak mereka ke sekolah mulai Tahun Satu.

Selaras dengan pelaksanaan dasar ini, satu tabung yang dinamakan "Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin" (KWAPM) ditubuhkan untuk membantu ibu bapa yang tidak berkemampuan menghantar anak mereka ke sekolah. Sumber kewangan tersebut diperoleh daripada peruntukan kerajaan dan sumbangan pihak luar, termasuk daripada pegawai dan kakitangan KPM sendiri.

Objektif KWAPM ialah memberi bantuan secara khusus kepada pelajar miskin dengan harapan dapat mengelakkan keciciran, meningkatkan tahap pencapaian akademik serta menjana kecemerlangan pelajar secara menyeluruh.

KRITERIA KELAYAKAN BANTUAN KWAPM

1. Murid warganegara Malaysia di semua Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan;
2. Murid yang ketua isi rumah (KIR) berdaftar dengan eKASIH dan dikategorikan sebagai miskin (M) dan miskin tegar (MT);
3. Murid bukan penerima salah satu bantuan berbentuk kewangan seperti Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Sukan, Elaun OKU, biasiswa kerajaan negeri, biasiswa swasta dan yayasan; dan
4. Murid Orang Asli yang berdaftar dengan eDAMAK dan murid Penan yang bersekolah sekolah Penan.

JENIS BANTUAN

1. Bantuan Am Persekutuan (BAP) - pakaian seragam sekolah, peralatan sekolah dan keperluan lain; dan
2. Bantuan Bulanan (BB) - wang saku dan perbelanjaan harian lain.

KADAR BANTUAN

Pelajar Sekolah Rendah :
BAP - RM200 bagi setiap seorang murid setahun.
BB - RM25/RM50 bagi setiap seorang murid untuk tempoh 10 bulan.

Pelajar Sekolah Menengah :
BAP - RM300 bagi seorang murid setahun
BB - RM30/RM60 bagi setiap seorang murid untuk tempoh 10 bulan.

CARA AGIHAN

Bagi BAP
a) Masuk ke akaun murid; atau
b) Barangan; atau
c) Tunai

Bagi BB
a) Masuk ke akaun murid; atau
b) Tunai

TATA CARA PERMOHONAN

Semua murid yang KIRnya telah berdaftar dengan Sistem eKASIH dan disahkan sebagai M atau MT, akan diberikan bantuan KWAPM secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan.

Bagi KIR yang belum mendaftar, permohonan boleh dibuat melalui laman web http://www.ekasih.gov.my. Ibu bapa atau penjaga yang berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan PGK) Nasional dan belum tersenarai dalam Sistem eKASIH juga boleh membuat permohonan dengan mengisi borang yang boleh diperoleh di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

KES KECEMASAN

Bagi kes-kes kecemasan, permohonan boleh dibuat oleh pihak sekolah melalui PPD dan JPN.

KPM mensasarkan pada tahun 2010 hanya menggunakan data dari Sistem eKASIH untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar yang layak. ini selaras denga keputusan kerajaan supaya hanya KPM sahaja yang akan menguruskan bantuan persekolahan.

Walau bagaimanapun, sehingga akhir Oktober 2010 yang lalu, bilangan murid yang berdaftar dengan eKASIH terlalu kecil berbanding data penerima bantuan sedia ada. Data sedia ada bagi penerima KWAPM ialah 531, 183 orang tetapi data eKASIH hanya76, 462 orang sahaja.

Oleh itu, sebagai cadangan penyelesaian, pihak Jabatan Pelajaran Negeri perlu mengetahui kaedah pendaftaran ke Sistem eKASIH dan menyebarluaskannya ke sekolah-sekolah.

No comments:

Post a Comment