Sunday, August 16, 2009

15.08.09: Sabtu yang sibuk

Sabtu semalam merupakan antara hujung minggu yang sibuk buat warga sekolah. Terdapat empat aktiviti yang berlangsung iaitu RIMUP di Zoo Negara, gotong-royong pemasangan papan putih di kelas-kelas dan bilik khas, kelas tambahan Tahun 6 dan latihan bola sepak.

RIMUP atau Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan yang pada asalnya melibatkan 7 buah sekolah terpaksa akur apabila SJK (C) Yak Chee tidak dapat turut serta akibat dari penutupan sekolah tersebut mulai Jumaat akibat H1N1. Namun kemeriahan dan keseronokan peserta RIMUP terserlah di wajah setiap daripada mereka. Anak-anak dari pelbagai bangsa dan sekolah bergabung tenaga dalam satu kumpulan bersaing antara satu sama lain. Semoga perpaduan dalam usaha membina Negara Bangsa dapat tercapai sewaktu kita sama-sama berganding bahu membangunkan modal insan.


Semasa 140 orang pelajar dan 25 orang guru beRIMUP di zoo negara, 21 orang guru dan ibubapa berganding bahu memasang 32 pasang papan putih di sekolah. Usaha menukar penggunaan papan hitam ke papan putih ini adalah demi menyediakan suasana kelas dan pembelajaran yang lebih sihat. Semoga dengan penghentian penggunaan kapur, debuan kapur yang mampu memberi kesan negatif kepada sistem pernafasan warga sekolah dapat dibendung.


Sewaktu rakan-rakan lain sedang berehat di hujung minggu, pelajar-pelajar Tahun 6 dan guru-guru gigih berusaha menyiapkan diri bagi menghadapi UPSR yang tinggal kira-kira 24 hari lagi. Ibu-bapa dengan penuh kasih-sayang menghantar sambil mengiringi doa buat anak yang bergelut dengan latihan yang disediakan oleh guru. Semoga semua harapan kita dimakbulkan olehNya.


Kalau pelajar Tahun 6 berada di Zoo Negara dan kelas-kelas tambahan, pelajar lelaki tahun 4 dan tahun 5 dengan tekunnya di bawah terikan mentari mengikuti latihan bolasepak. Penyediaan pasukan bolasepak untuk masa depan diharap dapat memenuhi masa lapang pelajar-pelajar di samping menggilap kemahiran mereka.


No comments:

Post a Comment