Tuesday, August 18, 2009

H1N1: Info Berguna

Petikan dari blog Dr. Shahrizal Azwan Bin Samsudin di http://www.drazwan.blogspot.com/ Fax : 03-79813590
H/P : 012-9597074
Emel : abiteha@yahoo.com

Elakkan Datang Ke Hospital...

Salam,


Di antara arahan Ketua Pengarah Kesihatan agar sesiapa yang sakit ke hospital segera untuk menerima rawatan.
Namun, jika boleh, sebaik-baiknya cuba elakkan daripada ke hospital kerana hospital adalah pusat segala pesakit H1N1 berkumpul.
Saya kasihan dengan sesetengah pesakit yang beratur berjam-jam untuk berjumpa doktor di hospital kerajaan kerana terlalu panik terkena jangkitan, sedangkan hanya terkena batuk dan selsema ringan.
Padahal risiko anda semua ke hospital, terpaksa menunggu lama di hospital, bertemu secara langsung dengan pesakit yang dikhuatiri ada H1N1 meningkatkan peluang anda untuk terkena jangkitan. Datang ke hospital tiada H1N1, pulang dari hospital dengan H1N1.
Kalau makhluk halus macam cerita "Jangan Pandang Belakang" itu mengikut anda pulang ke rumah, anda sorang sahaja yang dirasuk... tapi kalau makhluk halus macam H1N1 ikut anda pulang, satu kampung boleh terkena!
Ada yang bawa anak melawat ke hospital untuk melawat pesakit terutama di hospital swasta (hospital kerajaan ada larangan membawa kanak-kanak). Membawa anak kecil melawat pesakit adalah membahayakan diri anak-anak. Kita tahu co-morbid yang boleh membawa kematian kepada pesakit H1N1 adalah anak berusia 5 tahun ke bawah.
Jika ada keperluan melawat pesakit di hospital, sila pakai topeng muka.
Nasihat saya kepada semua pembaca, kalau tidak sihat sedikit-sedikit, macam selsema ringan atau, batuk ringan tanpa demam, tidak perlulah ke hospital. Pergi klinik berdekatan dan ambil MC pun cukup. Jika bawa anak untuk tujuan vaksinasi dan sebagainya, sila pakai topeng untuk mengelakkan jangkitan.
Kepada pesakit yang terkena selsema, batuk dan demam, amalkan minum air kosong yang banyak, makan buah-buahan yang tinggi kandungan Vitamin C seperti anggur, limau, epal dan buah-buahan kaya vitamin C yang lain. Anda juga boleh makan pil vitamin C yang boleh didapati klinik dan farmasi. Ada kajian yang menunjukkan Vitamin C boleh menghindarkan diri daripada jangkitan selsema dan meningkatkan imunisasi anda.Rehat secukupnya, pakai topeng muka, jauhkan daripada orang lain dan amalkan kebersihan diri.
Sekiranya gejala anda nampak melarat seperti sesak nafas, sakit badan semakin teruk, cirit birit dan muntah, demam tiggi yang tidak berkurangan dan lesu, jangan tunggu. Anda boleh pergi terus ke hospital kerajaan dan swasta dengan segera untuk dimasukkan ke dalam wad.
Wallahu Alam.
Saya berada di barisan pertama (front liner) apabila seorang pesakit H1N1 menerima rawatan. Secara amnya saya sangat-sangat terdedah kepada risiko H1N1. Apapun saya berserah kepada Allah dan berharap agar saya sentiasa sihat dan terus melaksanakan perkhidmatan.
Kadang-kadang terdetik rasa kecewa dan terkilan. Ada sesetengah pesakit yang batuk, selsema dan demam tidak mahu memakai topeng muka walaupun disuruh beberapa kali.
Di antara alasan yang diberikan ialah :-
1. Tak selesa
2. Tak boleh bernafas
3. Tak suka
4. Malu - nanti orang tak nak dekat sebab ingatkan dia kena H1N1
5. Susah nak buat kerja
6. Tak biasa
7. Tak ada topeng muka
8. Susah nak pakai sebab bertudungDan alasan yang entah apa-apa lagi.
Alasan-alasan inilah yang membuatkan kita semua yang masih lagi tidak terkena jangkitan, boleh terkena jangkitan.
Ada yang bawa anak-anak yang tidak sihat. Terlalu risau. Mungkin sudah tidak sihat beberapa hari. Alhamdulillah anak bertopeng kemas, batuk pun ketika memakai topeng. Bagus ibu-bapa sebegini. Tapi malangnya, dalam masa menerima rawatan, saya melihat ibunya batuk dan bersin berkali-kali tanpa memakai topeng. Apa guna kalau anak sahaja bertopeng, tapi ibunya yang batuk juga tidak bertopeng. Jangan ingat anak anda sahaja yang boleh terdedah kepada H1N1.
Saya menganggap anda semua yang menghidap selsema, batuk dan demam yang tidak mahu mengambil langkah berjaga-jaga ini dan tidak memakai topeng adalah seorang yang sangat-sangat mementingkan diri sendiri dan membahayakan orang lain.
Mustahil tidak tahu. Maklumlah dah 60 orang mati, dan setiap hari cerita H1N1 keluar di surat khabar. Atau buat-buat tak tahu. Saya tak percaya ada antara anda masih tidak tahu kepentingan memakai topeng muka sekiranya mempunyai gejala influenza.
Ada seorang remaja berjumpa saya untuk membuat medical check up untuk masuk ke universiti. Dia datang berdua bersama kawannya. Kawannya sihat dan tiada masalah. Oleh kerana dia batuk, demam dan selsema, saya minta dia memakai topeng muka. Mula-mula tidak mahu, tetapi saya paksa juga.
Setelah saya buat pemeriksaan perubatan untuk kemasukan ke universiti itu, saya minta dia tunggu di luar sebentar sementara saya nak isi borang. Dia bertanya pada saya. "Doktor, dah habis periksa?". Saya pun menjawab- dah.
Dia tanya kembali kepada saya,"Jadi, boleh saya tanggalkan topeng muka ini?"..Kelakar pun ada... mungkin pada fikirannya, saya suruh dia pakai topeng untuk elakkan jangkitan hanya kepada saya waktu itu. Padahal saya pun memakai topeng muka juga.
Di luar, kawannya datang kepadanya. "apasal kau pakai topeng muka ni?, kawannya tanya tersengih-sengih. "Entah, Doktor suruh.."jawabnya. Dia tak nampak saya sedang berjalan disebelahnya ketika itu.
Tuan dan puan, kita boleh menghindarkan wabak ini jika diizinkan Allah. Kita berdoa agar Allah memanjangkan usia kita dan menghindarkan kita dari segala bala dan musibah. Namun tawakkal dan doa sahaja tidak cukup tanpa disertakan dengan usaha. Memakai topeng muka dan menjaga kebersihan diri adalah satu keperluan di kala wabak H1N1 sedang merebak. Marilah kita saling ingat mengingati di antara satu sama lain.


RELENZA - Selamat Tinggal H1N1

RELENZA (ruh-LENS-uh) ialah sejenis ubat yang digunakan sebagai penyembuh penyakit influenza disebabkan oleh virus influenza. Ia juga digunakan untuk membantu mengelakkan jangkitan virus influenza.
Seseparuh ubat anti virus hanya mengelakkan virus influenza A sahaja, Relenza adalah effektif untuk memberi perlindungan bagi kedua-dua influenza jenis A dan B.
BAGAIMANA RELENZA BERTINDAK?
RELENZA berasal dari sejenis kumpulan ubat yang dipanggil neuraminidase inhibitors. Ubat ini mensasarkan kepada virus influenza itu sendiri dan menghalangnya daripada merebak ke dalam tubuh manusia. Oleh itu RELENZA menyembuhkan penyebab utama kepada influenza itu sendiri dan bukannya hanya menyembuhkan simptomnya sahaja.
Ia boleh diambil dari umur 7 tahun sehingga dewasa.
BILA WAKTU SESUAI MENGAMBIL RELENZA ?
Waktu yang paling sesuai mengambil Relenza apabila anda terdedah kepada virus influenza (katakan H1N1) dalam masa 48 jam. Ia adalah waktu terbaik dan sangat mujarab untuk menyembuhkan influenza. Sekiranya sudah melepasi waktu tersebut, maka kemungkinan Relenza ini tidak lagi berkesan.
SIAPA YANG TIDAK BOLEH MENGAMBIL RELENZA?
RELENZA tidak boleh diambil kepada penghidap masalah paru-paru kronik dan penghidap asthma. Ada kajian menunjukkan pesakit-pesakit ini akan mengalami kekejangan otot pernafasan (bronchospasm) dan mengakibatkan kesesakan nafas yang membahayakan.
Sekiranya anda tiba-tiba sesak nafas kerana mengambil Relenza (terutama kepada pesakit asthma), pastikan ada mengambil terus "fast acting bronchodilator" seperti ventolin inhaler sebelum berkejar ke hospital.
Kajian juga menunjukkan bahawa sekira anda penghidap penyakit di atas, Relenza tidak membantu mengurangkan simptom dan waktu jangkitan influenza. Anda juga tidak boleh mengambilnya sekiranya wujud alahan pada ubat-ubat antivirus sebelum ini.
BAGAIMANA CARA MENGAMBIL RELENZA?
Relenza pada awalnya adalah dalam bentuk pil. Kajian mendapati bahawa keberkesanan ubat ini apabila dimakan adalah sangat-sangat rendah. Oleh itu sejenis alat dipanggil rotating diskhaler (ROTADISK) diperkenalkan oleh Glaxo Smith Kline.
Rotadisk ini adalah sejenis alat berbentuk bujur, yang terdapat muncung dihadapannya. Apabila penutupnya dibuka, ubat ditebuk menggunakan alat khas, dan anda akan menghisap ubat tersebut dari muncungnya. Ubat tersebut akan masuk terus ke paru-paru anda seperti serbuk (mist).
Sekiranya anda sudah terdedah kepada H1N1, anda kena mengambilnya 2 kali sehari selama 5 hari (boleh teruskan selama 10 hari). Setiap kali ambil, anda perlu menghisap 2 dos (contohnya 2 dos pagi dan 2 dos petang). Sekiranya anda masih belum terdedah (mengambil untuk mengelak terkena sahaja), maka anda perlu mengambilnya sekali sehari selama 10 hari.
KESIMPULAN
Mat Salleh kata : " This is what is all about! " (sambil tangannya memegang Relenza).
Di dalam filem "V for Vendetta" - ada cerita tentang kalau nak jual ubat, sebarkan virusnya dulu. Lepas dah ramai mati, maka anti virus tersebut dijual. Dengan cara itu si penjual ubat nampak seperti hero dan mengaut untung yang banyak. Itu dalam filem.
Ubat Relenza ini sudah berada di dalam pasaran. Saham Glaxo Smith Kline di UK tentu meningkat mencanak-canak tahun ini. Mana tidaknya, satu ubat relenza ni berharga RM 198.00 bagi 5 hari penggunaan sahaja.
Yang pasti, si pengaut untung adalah si penjual ubat dan yang tetap menangung ruginya adalah kerajaan dan rakyat. Apapun, inilah harapan kita buat masa ini untuk menyembuhkan H1N1.
Wallahu Alam.Artikel ini ditulis oleh Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin (abiteha@yahoo.com)untuk www.drazwan.blogspot.com
Posted by Dr Azwan at 9:21 AM 3 comments Links to this post

No comments:

Post a Comment